Delegasi Delima Emas Sdn. Bhd. (DESB) membuka hari ke-4 di Jepun dengan lawatan ke Hokkaido Livestock Corporation, yang dipimpin oleh En. Kajikawa (Pengurus, Bahagian Kawalan Kualiti, Tokachi Plant, Hokkaido Livestock Corporation).
Ditubuhkan pada Oktober 1957, Hokkaido Livestock Corporation adalah loji penyembelihan dan pemprosesan daging terbesar di Hokkaido dengan kapasiti sebanyak 5 buah kilang, dan salah satunya telah disahkan Halal oleh badan pensijilan Halal di Jepun. Antara pasaran eksport mereka termasuklah UAE, Taiwan, New Zealand, Singapura, Amerika Syarikat dan Eropah.
Delegasi DESB tidak dibenarkan masuk ke kawasan operasi, akan tetapi pihak syarikat telah menyediakan kamera ‘live feed’ untuk melihat semua proses penyembelihan daging, bermula dari penerimaan lembu sehinggalah ke proses penyimpanan.
Hari DESB diteruskan dengan sesi lawatan ke Yotsuba Milk Products Co., Ltd. Ditubuhkan pada 1967, perusahaan ini bermula dengan menggunakan modal dari Koperasi Pertanian Hokkaido.
Yotsuba Milk Products Co., Ltd. mempunyai 5 buah kilang yang mengeluarkan produk tenusu seperti Kilang Utama Tokachi, Kilang Konsen, Kilang Okhotsk Kitami, Kilang Soya dan Produk Susu Kumiai. Beberapa produk dari kilang tersebut disahkan Halal dan turut dieksport ke negara lain termasuklah Malaysia dengan penjenamaan semula.
Susu Hokkaido begitu popular dan terkenal kerana wilayah Hokkaido mempunyai iklim yang sejuk dan padang rumput yang luas dengan udara segar. Keadaan persekitaran optimum ini menjadikan lembu bebas tekanan, seterusnya dapat meningkatkan kandungan lemak dalam susu.
Hasilnya, susu Hokkaido mempunyai rasa yang sungguh berbeza. Delegasi DESB tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri susu Hokkaido, dan rasanya memang lebih enak!
Terima kasih En. Higashi (Pengurus, Bahagian Pengeluaran, Yotsuba Milk Products Co., Ltd.) kerana sudi meluangkan masa menyantuni delegasi DESB. InsyaAllah pengalaman pada hari ini akan digunakan untuk meningkatkan lagi kualiti produk DESB di masa akan datang!